Thursday, October 14, 2010

TIDAK RAMAI YANG MINAT BUAT KERJA DAKWAH

Tidak ramai yang berminat buat kerja dakwah. Itulah antara luahan Kak Nurul Huda kepada saya. Kak Nurul Huda merupakan AJK Urusetia Saudara kita (USK) sebuah NGO di negeri Sarawak.

Puan Nurul Huda Abdullah adalah di antara individu yang banyak membantu usaha-usaha Yayasan Amal Malaysia dalam mewujudkan Pusat Dakwah Serantau. Kerjasama Kak Nurul bersama-sama ahli-ahli USK terutamanya Ustaz Sobri, sesungguhnya perlukan semangat yang amat tinggi . Sebenarnya kak Nurul juga merupakan seorang muallaf yang telah memeluk Islam ketika belajar di Amerika Syarikat.

Pelajar-pelajar PDS diambil dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli USK telah pergi ke pedalaman Sarawak, di mana perjalanan ke satu-satu kawasan itu kadang-kadang mengambil masa satu hingga dua hari untuk tiba di sana. Pengangkutan yang digunakan juga silih berganti kerana ada sebahagian tempat tidak boleh dimasuki dengan kenderaan melainkan sampan ataupun bot. dan ia juga bergantung dengan keadaan cuaca. Bila cuaca hujan perjalanan tersekat-sekat kerana adakalanya kawasan-kawasan yang di lalui itu dilanda banjir dan kadangkala pula dipenuhi kabus. Perasaaan cemas timbul bila tiba-tiba hujan lebat sedangkan mereka masih berada di dalam sampan dan perjalanan masih jauh lagi.



Inilah di antara jalan-jalan yang perlu di tempuhi untuk pergi ke pedalaman Sarawak


Sesungguhnya bumi Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan masih banyak lagi khazanah-khazanah alam yang belum diterokai. Justeru itu pembangunan di negeri itu tidak serancak seperti di Semenanjung.

Perbualan dengan Kak Nurul telah memotivasikan saya dan sekaligus memberikan cabaran untuk diri saya sendiri. Jika Kak Nurul boleh mengharungi semua ini, saya rasa terpanggil untuk membantu lagi usaha-usaha dakwah untuk negeri Sarawak dan Sabah . Lebih-lebih lagi untuk negeri kelahiran saya sendiri- Sabah negeri di bawah Bayu.

Setiap minggu saya akan ke Kampus PDS di Bangi yang jarak perjalanan hanya 45 minit dari Gombak. Saya pasti akan bertanyakan khabar dari pelajar-pelajar dan kadang-kadang saya akan ajak dua atau tiga orang pelajar makan di luar sambil lepak-lepak di gerai makan.

Kak Nurul turut mengharapkan saya "tolong jenguk-jengukan" pelajar-pelajar dari Long Busang Kapit. (Mazlan, Ariffin, Iskandar ). Kedudukan kampung mereka yang terlalu jauh di pedalaman amat sukar untuk berhubung dengan keluarga mereka. Pastinya keluarga mereka inginkan perkhabaran tentang anak-anak mereka.

Salah sebuah kampung pelajar PDS

Setakat ini saya melihat banyak perubahan dalam diri pelajar-pelajar ini. Semoga mereka ini Insya Allah kelak akan menjadi pendakwah di bumi Sabah dan Sarawak sekaligus dapat menyekat gerakan kristianisasi di kepulauan Borneo itu.

Dan saya berdoa semoga sentiasa di berikan kesihatan yang baik bagi meneruskan kerja-kerja ini. Amin

Tuesday, October 12, 2010

MASYARAKAT YANG ROSAK

Saban hari penyiaran berita mengenai gejala buang bayi sentiasa mendapat laporan dalam media masa. Sungguhpun pelbagai langkah cuba dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini, namun ianya masih belum mampu menghalang perkara ini dari terus menerus berlarutan.

Di mana silapnya? Siapakah yang patut disalahkan? Ibubapa? masyarakat? ataupun kerajaan?
Mungkin ada yang tidak sependapat dengan saya bila perkara ini dibincangkan. Andai kata saya fikir yang bersalah adalah kerajaan berapa ramaikah yang bersetuju,?

Pokok pangkalnya ialah kelemahan sistem perundangan negara kita. Jika Al-Quran dijadikan bahan rujukan serta panduan sudah pasti gejala ini akan dapat dikurangkan sekaligus dapat mengatasi perkara-perkara yang merosakkan masyarakat.

Wednesday, September 15, 2010

15 SEPTEMBER 2010

Hari ini genaplah setahun pemergian bonda saudaraku Zainab Hj Musliman. Walaupun sudah setahun berlalu, tapi saya masih lagi teringat akan begitu tragis kematiannya. Tarikh ini akan tetap menjadi sejarah kami sekeluarga kerana pada tarikh ini juga adalah tarikh hari lahir anak bongsunya Nur Adibah ALiah. Diba kini sudah berumur 12 tahun. Buat Diba, Kakak ucapkan SELAMAT HARI JADI YANG KE 12 Semoga Diba tabah dalam mengahurungi liku-liku hidup ini.

Inilah anak-anak allahyarham bonda saudaraku . Diba berada di barisan hadapan


Dan juga buat adik bongsuku Tina yang menyambut Hari Jadi semalam. 14 September. Selamat Hari Jadi yang ke 25 tahun Semoga impian dan cita-cita Tina selama ini akan tercapai. Amin


HAPPY BIRTHDAY - 25TH

Thursday, September 9, 2010

AIDILFITRI 2010

Aidilfitri kali ini saya tidak balik kampung, seperti biasa Raya di Gombak sahaja. Adik beradik saya yang tinggal di sekitar KL akan berkumpul di rumah Sri Gombak. Sudah kerap kami menyambut Raya di Rumah ini dah jadi macam rumah sendiri. walaupun ianya cuma rumah sewa. Perasaan beraya di perantauan biasa sahaja. Seingat saya, ini adalah kali ke 8 saya beraya di bumi Semenanjung sejak 12 tahun yang lalu. Adik-beradik saya Sarah sekeluarga, Mark dan Tina akan berada di Sri Gombak 3 hari selepas tu akan balik ke rumah masing-masing.

Selalunya June dan mak yang datang ke Kuala Lumpur. Maklumlah mereka berdua sahaja. Cuma tahun ni berbeza sikit mereka tidak datang ke KL lagi. Tahun ini merupakan tahun pertama June menyambut lebaran sebagai seorang isteri. Jadi dia akan mengikut suaminya ke Lahad Datu. Sementara mak akan menemaninya.

Thursday, September 2, 2010

MISI KE PAKISTAN

Yayasan Amal Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Pakistan kali ke 2 pada 31 s sehingga 6 September 2010. Misi kali ini disertai oleh 12 sukarelawan termasuk 2 orang wanita.

Berurusan dengan kedutaan Pakistan untuk mendapatkan visa merupakan satu cabaran yang besar. Banyak "songeh". Kadangkala terfikir di hati saya sendiri orang hendak membantu masyarakat mereka tetapi seolah-olah mereka tidak mahu menghargainya. Saya pergi ke kedutaan sebanyak 3 kali.

Bermula dengan pertukaran borang baru. saya terpaksa kembali ke pejabat dan menghubungi kesemua sukarelawan yang terlibat untuk mengisi borang baru. Bagi sukarelawan yang jauh saya memberanikan diri untuk mengisi sekaligus meniru tandatangan mereka.

Jam 10.00 pagi (30 Ogos) - Saya menghantar permohonan untuk kali kedua. tapi sekali lagi ditolak. Mereka minta macam-macam , pendaftaran syarikat, profile company, kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri. dan apa yang betul-betul menguji kesabaran ialah apabila kesemua sukarelawan diminta menulis surat akujanji bahawa mereka tidak akan membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan Pakistan jika berlaku apa-apa terhadap mereka sepanjang mereka menjalankan misi bantuan di Pakistan dengan mengunakan tulisan tangan.........kerja gila betul..

Saya terpaksa begegas ke pejabat Amal di Batu Caves untuk mengambil beberapa dokumen yang diperlukan. Saya mesti menghantar borang petang itu juga kerana esok pagi Misi Amal akan bertolak ke Pakistan.

Pada pandangan saya, kemungkin pekerja-pekerja di Kedutaan ada maksud yang tersirat di sebalik tindak tanduk mereka.

Dengan pertolongan beberapa orang teman , kami bertungkus lumus untuk membuat surat seperti yang dikehendaki. Nasib baiklah ada 4 orang yang dapat membantu membuat kerja gila ini. Surat dari Kementerian di faxkan terus ke pejabat kedutaan Pakistan. Namun saya hampir-hampir kecewa apabila saya sampai ke pejabat kedutaan Pakistan pintu pagar telah di kunci. Saya bernasib baik apabila ada wakil dari NGO datang untuk mengambil pasport di kedutaan, maka dapatlah saya masuk bersama-sama dengan beliau.

Sungguhpun banyak kerenah dan birokrasi yang di hadapi namun Alhamdulillah akhirnya saya berjaya juga mendapatkan visa dari kedutaan Pakistan untuk perlepasan pada esok harinya. 31 Ogos 2010.

Friday, August 20, 2010

RAMADHAN 1431H

Bangunan PDS ( Kompleks Darul Irshad) di waktu malam

Ramadhan datang lagi. Mungkin Ramadhan kali ini agak berbeza. Jika sebelum ini , setiap kali Ramdahan saya akan berbuka puasa bersama keluarga serta rakan-rakan. Kali ini agak berbeza sikit kerana saya akan banyak masa di Pusat Dakwah Serantau. (PDS) dan kemungkinan juga saya akan kerap berbuka puasa bersama-sama mereka.

Sungguhpun ini merupakan suasana baru, tetapi saya amat seronok dapat berbuka puasa dan solat terawih bersama pelajar-pelajar di sini.

Sepanjang Ramadhan, Alhamdulillah ada sahaja sumbangan yang diterima dari masyarakat setempat. Semoga keperihatinan mereka akan mendapat genjaran dari Allah SWT.

Monday, August 2, 2010

SHOUTUL IRSHAD


Walaupun baru sebulan belajar, kesungguhan pelajar-pelajar PDS dalam mempelajari sesuatu yang baru sememangnya boleh dikagumi. Pada 31 Julai 2010 yang lalu, mereka telah menyertai Pertandingan paluan kompang anjuran Kraftangan Malaysia. Daripada 24 penyertaan, Pelajar PDS yang menamakan kumpulan mereka sebagai Shoutul Irshad telah berjaya di tempat yang ke 8.
Shoutul Irshad bersama penyokong-penyokongnya

Persembahan yang penuh bersemangat

Mereka cuma sempat berlatih selama 8 hari sahaja dan ramai yang tidak ada pengalaman dalam seni paluan kompang. Apa yang boleh membanggakan mereka, Shoutul Irshad telah mengetuai paluan kompang ketika RTM1 bersiaran secara langsung jam 1.00 tengahari. Tahniah kepada Dino Ahab selaku ketua kumpulan, Sahrul (Boy), Mohd Khairi (Ganai), Rosdi, Maswan yang telah berjaya membantu pelajar-pelajar PDS untuk mempelajari seni paluan kompang. Saya tidak mengharapkan kemenangan dalam pertandingan ini, tapi apa yang penting adalah pengalaman pelajar-pelajar ini membuat persembahan merupakan satu kejayaan yang besar buat saya dan warga PDS .


Keudara secara langsung oleh pihak RTM 1 menerusi Berita jam 1 thari

Monday, July 19, 2010

WALIMAH JUNE (06.06.10)

6 Jun 2010 ( 06.06.10) merupakan tarikh perkahwinan adik saya Junaina (June) . Ini bermakna ahli keluarga saya telah bertambah lagi. Apa yang menarik , ialah jika terdahulu majlis perkahwinan Sarah (kakak Junaina) telah diadakan pada 5 Mei 2002. (05.05.02) dan dia pula 06.06.10 mungkin ada adik beradik yang lain akan memilih tarikh yang boleh dianggap bersejarah.

SELESAI MAJLIS AKAD NIKAH

Alhamdulillah majlis telah berjalan dengan baik seperti yang telah dirancang. Buat Junaina Jakla dan Roslan Misran diucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU semoga kekal hingga ke akhir hayat. Amin

Thursday, July 1, 2010

PUSAT DAKWAH SERANTAU

Presiden Yayasan Amal Malaysia hj Hussin ismail sedang memberikan Taklimat kepada Pelajar Pusat Dakwah Serantau


Hampir setahun blog ni tidak dikunjungi, malahan hampir-hampir dilupakan. Sejak saya aktif dalam facebook, saya sudah tidak pernah berkunjung ke blog ini, kesibukan di luar waktu kerja telah membataskan saya untuk berfikir berkenaan apa perlu di tulis dalam blog ini.

Bermula pertengahan bulan Jun tugas saya telah bertambah sedikit. jika sebelum ini saya hanya banyak masa di dalam pejabat sahaja, tetapi kini saya turut membantu satu lagi projek Yayasan Amal Malaysia di dalam negeri.

Pusat Dakwah Serantau yg terletak di Sg Merab Bangi , Selangor

Pusat Dakwah Serantau merupakan sebuah tempat latihan untuk pelajar-pelajar dari keluarga Muallaf ( samada anak-anak Muallaf ataupun yang baru memeluk Islam ) . Bagi pengambilan pertama, kesemua pelajar-pelajar ini adalah dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan kesemuanya terdiri dari pelajar lelaki. . Mereka akan belajar dan akan dilatih untuk menjadi Daie' /pendakwah apabila mereka kembali ke kampung halaman masing-masing.

Gejala murtad yang semakin menular di kedua-dua negeri itu amat membimbangkan. Justeru itu Yayasan Amal Malaysia telah mengambil langkah dengan melatih anak-anak jati dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak agar mereka akan dapat neneruskan usaha-usaha dakwah di kampung masing-masing.

Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) , Yayasan Amal Malaysia amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pengurusan, termasuklah makan dan minum pelajar.

Sumbangan dari segi kewangan dan barangan amat di alu-alukan dan bagi sesiapa yang berminat bolehlah berkunjung ke laman web : http://www.pusatdakwahserantau.org/. atau menghubungi saya sendiri : Tel 019-3721947 (H/P)



Sebahagian Pelajar Pusat Dakwah Serantau

Thursday, January 14, 2010

KALIMAH ALLAH MILIK ISLAM

ALLAH untuk Islam. Tajuk depan Utusan Malaysia menarik minat saya. Tegas Sultan Selangor penggunaan Kalimah Allah hanya untuk agama ISlam sahaja. Maknanya agama lain di negara ini haram menggunakan perkataan Allah. Tujuannya satu untuk memelihara aqidah umat Islam selain keharmonian beragama.


Hal ini sudah semestinya disambut baik oleh seluruh umat Islam di negara kita. Beberapa orang tokoh agama Kristian bersetuju dengan mengugurkan kalimah Allah untuk mengelak konflik Islam Kristian berpanjangan. Maknanya perasaan sensiviti umat Islam di Malaysia perlu di jaga.


Namun kenyataan dari Persatuan Gereja Sarawak amat mengusarkan. Mereka masih berpegang teguh dengan keputusan mahkamah. Mereka seolah tidak mahu memahami sensitiviti umat Islam di Malaysia. Majlis gereja Sabah pula mengambil sikap berkecuali mungkin gereja Sabah mempunyai sejarah tersendiri.


Tahun 1986 merupakan detik yang tidak mungkin di lupakan bagi pemimpin politik Sabah. Pilihanraya DUN Negeri Sabah yang telah memberi kemenangan kepada parti politik PBS (parti Bersatu Sabah telah mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan penganut Kristian Sabah.


Ketika itu saya belajar dalam Tingkatan 2. Kejadian Rusuhan telah berlaku di tiga kawasan., Kota Kinabalu, Sandakan & Tawau. 7 bahan letupan plastik telah di letupkan di kota Kinabalu dan satu bom turut di letupkan di Tawau. Sekolah saya adalah sasaran kerana sekolah sebahagiannya masih berada di bawah pentadbiran pihak gereja.


Masih teringat lagi bagaimana kami pelajar sekolah diarahkan berlari keluar ke jalan raya menyelamatkan diri bila mendengar letupan kuat. keadaan agak kelam kabut dan Peristiwa itu masih lagi dlm ingatan hinggakan mampu diceritakan satu persatu. Tapi bagi saya itu adalah mimpi yang ngeri bila diingat semula. Semua itu adalah angkara fahaman politik yang sempit yang membabitkan dua kelompok penganut iaitu Islam & Kristian.



Inilah lencana sekolah saya

Walaupun perkara itu telah berlaku kira2 24 tahun lalu tapi tidak mustahil akan berulang jika keadaan ini tidak di tangani segera.

Wednesday, January 13, 2010

TUGAS & KERJA


Pameran AMAL Di UNISEL Batang Berjuntai Selangor

Sejak dari hari Isnin saya berpeluang untuk update blog ni. Maklum je kerja kat pejabat tidak banyak sangat. jadi dapatlah menulis dan kebetulan ada ide. Selama ni saya idtak berapa mahir untuk mengedit apa-apa dalam blog ni nasib baiklah dapat bantuan Tina. Dia yang banyak memberi tunjuk ajar cara-cara setting dan sebagainya. Kalau harap saya yang buat sendiri maknanya tidak akan adanya perubahan.

Esok 14hb Yayasan Amal dijemput ke program kesukarelawan Universiti Putra Malaysia. maknanmya esok saya masuk kerja pagi je waktu petang saya akan terus ke UPM.

Hari Jumaat pula saya akan ke Kementerian Kesihatan di Putrajaya, Yayasan Amal telah menerima sumbangan komputer terpakai sebanyak 5 unit. Selepas itu akan terus ke Kajang untuk bertemu dengan Pak Jamel. ( Yayasan Amal Selangor ) untuk menyerahkan sijil peserta korban dan aqiqah Ke Kembodia.

mungkin blog saya tidak akan dapat di update selama 2 hari.

Monday, January 11, 2010

PERKATAAN ALLAH

Akhir-akhir ini hangat diperkatakan isu Perkataan Allah yang telah dibenarkan kepada penerbitan akhbar Herald. Sesungguhnya saya tidak pernah pun melihat majalah tersebut apatahlagi membacanya. mungkin ia khusus untuk bacaan penganut Katolik sahaja . Sekadar Hiasan

Hampir setiap balai polis menerima laporan berkaitan bantahan penggunaan kalimah ALLAH. Namun bukan setakat bantahan sahaja tapi kini telah menular kepada keganasan sehingga membakar gereja. Saya betul-betul kecewa dengan tindakan mereka yang tidak cerdik ini. Sungguhpun saay tidak setuju dengan keputusan mahkamah Tinggi tapi jalan keganasan bukanlah tindakan yang betul.

Nahtijahnya orang Islam yang akan mendapat aib. Sudah semestinya tanggapan Islam sukakan keganasan yang dilebelkan oleh masyarakat barat seperti cuba dibuktikan oleh mereka yang tidak cerdik ini.

Islam itu kedamaian & keamanan. Itu yang cuba saya gambarkan kepada rakan-rakan senegeri yang kini berada di bumi semenanjung. mereka agak fobia dengan fenomena akhir-akhir ini.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

""tahu tak agama kristian telah diturunkan tuhan terlebih dahulu dari agama Islam,
maknanya org kristian telah dulu menggunakan perkataan ALLLAH dari org Islam.

"Kami dah lama menyebut nama Allah. tapi tiada pun yang pernah kacau. Tapi bila mahkamah sudah buat keputusan ramai pula yang marah2 siap bakar church lagi.'

" Kalau mau marah pergilah bakar itu mahkamah yang bagi keputusan. kenapa pula church yang dibakar."

" Nampaknya org Melayu di Semenanjung sudah macam Taliban"

"Secara peribadi sy akan menggunakan perkataan Allah dlm gereja, penulisan dan dlm doa sepanjang hayat sy"


Saya memahami luahan teman saya itu. Saya tidak mampu marah bila dia berkata demikian. Saya betul-betul malu dengan apa yang berlaku.

Antara perkataan Allah dlm kitab Injil Melayu

Saya membesar dengan masyarakat Kristian majoriti. Saya sering mendengar penganut-penganut Kristian di tempat saya menyebut perkataan Allah .Ejaan mungkin sama tapi sebutan agak berbeza. Saya tidak pernah merasa janggal kerana mungkin saay faham itu ajaran mereka. Mungkin situasi berbeza dengan suasana di Semenajung Malaysia. Ianya agak sensitif. Cuma sensitif tidak bertempat.


Hati hanya mampu berkata.

Katakanlah Allah itu Satu. Allah adalah tempat bergantung Dia tidak beranak dan tidak di peranakan dan tidak ada satu pun yang meyerupainya




UPDATE BLOG

Sudah terlalu lama saya tidak update blog ini. Bukannya tidak ada masa, tapi kadang-kadang mood tidak ada untuk menulis. Kadang-kadang menulis pun perlukan mood juga, kalau tidak idea langsung tidak muncul.

Selepas raya aidilfitri dan sehingga akhir tahun 2009, blog saya sudah tidak diusik lagi. dibaca tapi tidak dikemaskini.

Sahabat saya Dayah selalu kata, dalam blog ni tulislah apa-apa saja, macam kita bercerita. Bahasa tidak semestinya tinggi, janji mudah difahami.

Kata-kata Dayah tu betul juga. jika selama ni tidak tahu apa hendak tulis dalam blog, tapi lepas ini agaknya saya sudah boleh menulis dalam blog ni. Harap-harap tahun 2010, blog saya kali ni akan selalu dikemasiki.