Thursday, October 14, 2010

TIDAK RAMAI YANG MINAT BUAT KERJA DAKWAH

Tidak ramai yang berminat buat kerja dakwah. Itulah antara luahan Kak Nurul Huda kepada saya. Kak Nurul Huda merupakan AJK Urusetia Saudara kita (USK) sebuah NGO di negeri Sarawak.

Puan Nurul Huda Abdullah adalah di antara individu yang banyak membantu usaha-usaha Yayasan Amal Malaysia dalam mewujudkan Pusat Dakwah Serantau. Kerjasama Kak Nurul bersama-sama ahli-ahli USK terutamanya Ustaz Sobri, sesungguhnya perlukan semangat yang amat tinggi . Sebenarnya kak Nurul juga merupakan seorang muallaf yang telah memeluk Islam ketika belajar di Amerika Syarikat.

Pelajar-pelajar PDS diambil dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli USK telah pergi ke pedalaman Sarawak, di mana perjalanan ke satu-satu kawasan itu kadang-kadang mengambil masa satu hingga dua hari untuk tiba di sana. Pengangkutan yang digunakan juga silih berganti kerana ada sebahagian tempat tidak boleh dimasuki dengan kenderaan melainkan sampan ataupun bot. dan ia juga bergantung dengan keadaan cuaca. Bila cuaca hujan perjalanan tersekat-sekat kerana adakalanya kawasan-kawasan yang di lalui itu dilanda banjir dan kadangkala pula dipenuhi kabus. Perasaaan cemas timbul bila tiba-tiba hujan lebat sedangkan mereka masih berada di dalam sampan dan perjalanan masih jauh lagi.



Inilah di antara jalan-jalan yang perlu di tempuhi untuk pergi ke pedalaman Sarawak


Sesungguhnya bumi Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan masih banyak lagi khazanah-khazanah alam yang belum diterokai. Justeru itu pembangunan di negeri itu tidak serancak seperti di Semenanjung.

Perbualan dengan Kak Nurul telah memotivasikan saya dan sekaligus memberikan cabaran untuk diri saya sendiri. Jika Kak Nurul boleh mengharungi semua ini, saya rasa terpanggil untuk membantu lagi usaha-usaha dakwah untuk negeri Sarawak dan Sabah . Lebih-lebih lagi untuk negeri kelahiran saya sendiri- Sabah negeri di bawah Bayu.

Setiap minggu saya akan ke Kampus PDS di Bangi yang jarak perjalanan hanya 45 minit dari Gombak. Saya pasti akan bertanyakan khabar dari pelajar-pelajar dan kadang-kadang saya akan ajak dua atau tiga orang pelajar makan di luar sambil lepak-lepak di gerai makan.

Kak Nurul turut mengharapkan saya "tolong jenguk-jengukan" pelajar-pelajar dari Long Busang Kapit. (Mazlan, Ariffin, Iskandar ). Kedudukan kampung mereka yang terlalu jauh di pedalaman amat sukar untuk berhubung dengan keluarga mereka. Pastinya keluarga mereka inginkan perkhabaran tentang anak-anak mereka.

Salah sebuah kampung pelajar PDS

Setakat ini saya melihat banyak perubahan dalam diri pelajar-pelajar ini. Semoga mereka ini Insya Allah kelak akan menjadi pendakwah di bumi Sabah dan Sarawak sekaligus dapat menyekat gerakan kristianisasi di kepulauan Borneo itu.

Dan saya berdoa semoga sentiasa di berikan kesihatan yang baik bagi meneruskan kerja-kerja ini. Amin

No comments:

Post a Comment